25 May 2019

Benarkah Vaksin Mengandungi Babi???


Perbahasan hukum mengenai kaedah perubatan moden senantiasa berkembang setelah timbulnya ubat-ubatan moden masa kini. Namun tidak kurang juga ramai di kalangan masyarakat menolak kaedah perubatan moden ini atas alasan ingin mengikut sunnah Rasul dan meletakkan tawakkal ditempat tertinggi. Fenomena ini makin meluas dengan timbulnya isu keraguan mengambil ubat atau kaedah yang diragui oleh mereka. Begitu juga dengan penggunaan bahan syubhah dalam sesetengah vaksin yang diberikan kepada anak-anak kita.

Antara keraguan utama yang sering ditimbulkan adalah vaksin diperbuat dari sumber babi. Masyarakat di Malaysia juga tidak terlepas dari kemelut dan perbahasan yang tidak berkesudahan ini. Sedangkan perbahasan yang cukup tuntas telah dibincangkan oleh doktor dan para ilmuwan Islam.

Para fuqaha dan pengkaji muslim sentiasa membahaskan isu-isu yang berkaitan ketulinan vaksin dan mengeluarkan garis panduan bagi menyelamatkan umat Islam dari tidak terus terkeluar arus kemodenan dan teknologi perubatan terkini. Sehingga tarikh ini, tiada satu pun vaksin yang digunapakai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia diragui proses pembuatannya bercampur dengan babi.

Vaksin MMR adalah antara vaksin yang selalu dirujuk mangandungi unsur babi. Sebagai penegasan di sini, premis KKM menggunakan vaksin MMR (Mumps, Measles dan Rubella) berjenama Priorix keluaran GSK yang bebas dari unsur babi. Justeru sepatutnya tidak timbul penolakan pemberian vaksin oleh ibubapa atas alasan mengandungi unsur babi.

Namun terdapat vaksin MMR yang digunakan oleh sesetengah premis swasta diimport yang mengandungi Hydrolysed Gelatine. Jenama vaksin MMR itu adalah MMR-II keluaran Syarikat Merck (Attenuvax) mengandungi Gelatin Terhidrolisis (HG). Sumber asal HG ini adalah dari babi setelah melalui proses makmal. Ianya digunakan sebagai medium dalam proses membuat vaksin MMR-II. HG adalah molekul ringkas hasil dari penguraian gelatin mentah yang terdapat dalam kulit, tulang, rawan dan tisu binatang. Binatang yang digunakan adalah boleh terdiri daripada gelatin lembu, biri-biri, ikan dan babi.

Walaubagaimana sekalipun nama yang diberi atas HG ini, hukumnya diharuskan penggunaannya. Keharusannya berdasarkan HG ini tergolong dalam hukum Istihalah sesuatu bahan. Atau boleh mengambil keharusannya mengikut hukum fekah daruriyyat. Demi menyelamatkan nyawa dalam kes ketiadaan ubat alternatif dalam keadaan yang kritikal.

Ianya juga diperjelaskan lagi melalui satu keputusan nadwah pengurusan Islam dalam ilmu perubatan berlangsung di Kuwait pada Mei 1995 seperti yang dicatat oleh ulama terkenal Dr Wahbah Al Zuhayli:

Dalam resolusi Nadwah Pengurusan Islam Dalam Ilmu Perubatan Ke 8 yang diadakan di Kuwait pada Mei 1995, diputuskan bahawa (Wahbah al-Zuhayli, 9: 660-665):

1. Gelatin yang terbentuk daripada proses istihalah daripada tulang binatang najis, kulit dan uratnya adalah bersih dan halal dimakan.

2. Sabun yng dibuat melalui proses istihalah dari lemak khinzir ataupun bangkai binatang adalah suci dan harus digunakan.

3. Keju yang dihasilkan daripada rennet yang didapati daripada bangkai haiwan yang halal dimakan adalah suci dan halal dimakan.

4. Alat-alat solek yang mengandungi lemak khinzir tidak boleh digunakan, kecuali jika telah pasti berlaku proses istihalah dan telah berlaku pertukaran ain atau zatnya.

5. Bahan makanan yang mengandungi lemak khinzir sebagai kandungannya dengan tidak berubah zatnya seperti yang terdapat pada sesetengah keju, minyak, mentega, dadih, biskut, coklat dan aiskrim adalah haram dimakan.

6. Insulin yang diambil dari khinzir adalah harus digunakan bagi mengubati penyakit kencing manis kerana darurat. (Catatan: sekarang sudah ada alternatif dari sumber halal).

Dalam konteks Malaysia, beberapa fatwa berhubung penggunaan bahan yang berunsurkan babi telah diputuskan, antara lain:


1. Hukum menyuntik insulin daripada najis mughallazah (babi) bagi tujuan perubatan pesakit kencing manis adalah harus kerana darurat. Begitu juga mereka yang melakukan suntikan (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan Ke 6, Oktober 1983).

2. Penggunaan gelatin dalam ubat adalah diharuskan kerana darurat. Sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat dari cepat rosak, maka penggunaan gelatin dalam ubat tidak lagi harus (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan Ke 8, September 1984)

3. Baja yang diperbuat dari tahi babi adalah najis mughallazah tetapi penggunaannya sebagai baja adalah harus serta makruh. (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan Ke 2 Mei 1981)

4. Makanan yang diproses daripada bahan-bahan yang bercampur dengan najis seperti darah lembu, darah babi dan lain-lain adalah harus dan halal dimakan (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan Ke2 Mei 1981).

5. Barangan, makanan dan minuman yang diproses melalui kaedah bioteknologi menggunakan DNA babi adalah bercanggah dengan syarak dan hukumnya haram (Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Julai 1999).

Istihalah boleh dirumuskan sebagai perubahan sifat jirim atau zat molekul bagi sesuatu bahan yang boleh menyebabkan perubahan hukumnya yang asal. Dari penjelasan ini, bahan najis yang haram boleh berubah menjadi suci dan halal apabila zatnya berubah menjadi bahan lain yang berbeza sama ada dari segi nama, kriteria dan juga sifatnya (Anisah Ab. Ghani, Jurnal Halal 2008: 45-46,: Muhammad Safiri Makanan Ubahsuai GenetiK: Satu Analisis Hukum, 2008: 78).

Sebagai contoh istihalah ini adalah


1] Baja siraman sayur yang digunakan adalah dari najis, tapi sayurnya boleh dimakan dan halal.

2] Jika seekor kinzir mati dan jatuh dalam lautan garam, akhirnya dia hancur dan sebati dengan garam tersebut. Hukumnya halal memakan garam tersebut (Hukum Istihlak).

3] Sama juga air kolam yang kita minum. Dah beratus-ratus binatang mati dalam kolam itu. Tetap halal sebab sebatian asal telah berubah bentuk dan telah hilang dari segi zat dan sifat dia.

Rujukan lanjut boleh lihat Genitically modification food dalam pandangan syarak oleh Muhammad Safiri. (Muhammad Safiri Makanan Ubahsuai GenetiK: Satu Analisis Hukum, 2008: 78) 
Soalan timbul apabila ada yang mempertikaikan bahawa adakah pemberian vaksin ini kira darurat?


Dalam berubat kita kena lihat 5 maslahat syarie @ maqasid syariat
1. Akal (hifz al akl)
2. Agama (Hifz Al Din)
3. Harta (Hifz Mal)
4. Keturunan (Hifz An Nasab)
5. Jiwa/nyawa (Hifz An Nafs)

Sila teliti teliti statistik berikut. Dalam tahun 2011 terdapat 158000 kematian akibat measles (campak) seluruh dunia. Di mana 430 kematian setiap hari atau 18 kematian setiap jam. Adakah kita tidak melihat measles boleh mengancam nyawa keseluruhan nya? Mungkin bukan anak anak kita tapi anak anak orang lain yang dijangkiti akibat komplikasi measles (campak). Terbukti vaksinasi measles (campak) sejak 2000-2011 telah menurunkan 73% mortaliti (kadar kematian) seluruh dunia. Amat menyedihkan bahawa 95% kematian akibat measles (campak) datang dari negara-negara ekonomi rendah. Negara umat Islamlah yang banyak terlibat. Ini adalah satu contoh statistik kematian dari penyakit yang mengancam nyawa manusia. Lapan jenis penyakit lagi yang boleh dicegah melalui vaksin tidak kurang seriusnya membolehkan kadar kematian meningkat terutama di kalangan kanak-kanak.

Pemberian vaksin ini melibatkan salah satu dari penjagaan maqasid syariat tersebut. Tidakkah kita terasa terpanggil untuk menjaga maqasid syariat tu? Sebab tu Allah tetapkan hukum untuk menjaganya. Jika kita ambil arak yang boleh merosakkan akal- sebatlah jawabnya. Jika kita berzina yang boleh merosakkan keturunan dan maruah- sebat atau rejam selayaknya

Jika kita murtad (nauzubillah) keluar dari agama- hukumnya bunuh.

Kesimpulannya vaksinasi adalah wajib diberikan kepada zuriat kita.
Sekian


Sumber Penulisan Dari:
Dr Hj Suhazeli Abdullah
Family Physician
Klinik Kesihatan Keningau
Sabah
8hb Jun 2013



No comments:

Post a Comment

Komen Disini