36 tahun,
Kencing Manis 5 tahun.
Tak pernah jaga. Tak pernah makan ubat. Tahu-tahu buah pinggang rosak terus. Dialisis seumur hidup.
Anak 3 orang, yang tua berumur 12 tahun. Kini beliau tidak boleh bekerja, harapkan isteri mengambil upah menjahit.
Teringat peristiwa dalam 5 bulan yang lepas. Pesakit ini baru saya temui kali kedua semasa itu. Kali pertama saya menasihati beliau untuk menjaga makan dan minum. Kurang kan air, makan yang seimbang dan lebih kan protein. Berbuih juga mulut masa itu, ya lah saya hanya nak yang terbaik untuk dia.
Akan tetapi beliau tidak endahkan nasihat saya langsung. Selalu makan luar; isteri masak tak mahu makan. Ya lah, tak sedap kan; tak ada garam, perasa sebagainya.
Kali kedua jumpa beliau, saya sedih, juga hairan kenapa beliau sangat degil dan tidak endahkan nasihat saya. Tekanan darah 200/100 mmHg itu biasa bagi beliau.
Ya, saya marah semasa itu. Rupanya anak perempuan beliau yang 12 tahun itu mendengar perbincangan kami dari luar bilik konsultasi.
Beliau masuk ke bilik, bertanya:
"Ayah tak sayang kakak ke?"
Terkejut saya. Ya Allah, pandai anaknya ini.
Pesakit saya senyap sahaja.
Tidak lama kemudian, beliau masuk hospital paru-paru penuh air. Banjir didalam. Serangan jantung yang kuat semasa itu. Berminggu duduk ICU kerana memerlukan mesin bantuan pernafasan. Fistula (seperti gambar bawah) telah "mati" dan beliau terpaksa ditebuk dileher untuk meneruskan rawatan Dialisis. Ini memang risiko pesakit yang tidak dengar kata seperti ini.
Semasa jumpa beliau 2 minggu lepas,
"Saya menyesal, Doktor".
Malangnya telah terlambat. Sekarang fungsi jantung sangat lemah, nak berjalan sikit pun susah. Tekanan darah terlampau rendah sekarang. Tidak boleh kami nak tolong lagi.
Nasihat saya tentang air dan buah pinggang:
1. Yang sihat, minum secukupnya. Dalam 8 gelas sehari cukup. Banyak sangat pun tak perlu.
2. Yang ada penyakit buah pinggang kronik tahap I, II dan mungkin III: boleh saja ikut macam no 1 kecuali ada penyakit dan sebab lain. Bincang dengan Doktor yang merawat.
3. Yang Tahap IV, V atau Dialisis itu, mohon KAWAL jumlah air dan makanan masin. Kenapa agaknya susah sangat. Rumah saya pun tiada garam atau gula 🙏.
Kalau Dialisis, ketahuilah "dry weight" atau berat kering anda. Tanya Doktor dan staf. Pastikan anda tidak melebihi jauh dari sasaran. Itu cari pasal namanya.
Kalau buat Haemodialisis (cuci darah) 3 kali seminggu jangan sekali-kali berat anda naik melebihi 4% daripada berat anda balik sesi terdahulu. Contohnya, jika berat anda 50kg lepas Dialisis, jangan melebihi 52kg sebelum sesi Dialisis seterusnya (4% dari 50kg = 2kg; 50+2 = 52kg); dua hari kemudian.
Mohon anak-anak ambil tahu sedikit pasal ibubapa anda. Ramai anak-anak kata tak tahu tentang perlunya pengawalan, bila ibubapa masuk hospital. Maaf, bagi kami alasan ini tidak munasabah. Rasa lebih kepada "buat tak tahu". Pergi lah dengan mereka jumpa Doktor semasa temujanji. Ambil tahu.
Budak 12 tahun ini pun peka.
Tak guna nanti paru-paru berair, serangan jantung. Komplikasi ini tidak mengenal usia.
Tiada maaf bagimu.
Paru-paru berair adalah risiko untuk pesakit Dialisis kalau minum berlebihan dan makanan masin dan bergaram.
BUKAN sebab mandi malam.
Saya suka mandi malam; tidur menjadi lebih lena 😴 😴
Sumber dari:
Rafidah Abdullah
Pakar Perubatan & Nefrologi
No comments:
Post a Comment
Komen Disini